Tips Lulus Ujian Pegawai Tadbir Diplomatik PTD

Saya pasti, mesti ramai kan mencari tips lulus ujian pegawai tadbir diplomatik PTD. Setiap kali ujian akan dijalankan, saya menerima banyak pertanyaan pasal tips lulus ini.

Untuk menjawab persoalan anda itu, saya akan kongsikan tips lulus itu pada artikel ini. Ada beberapa perkara yang boleh menjadi faktor seseorang calon itu lulus ataupun gagal dalam ujian psikometrik PTD.

Empat Tips Lulus Ujian Psikometrik

Untuk pengetahuan anda, tujuan ujian psikometrik PTD ini adalah untuk mengecilkan jumlah calon ke peringkat seterusnya.

Dalam memastikan anda berjaya berada dalam kelompok yang tersangat kecil itu, saya akan kongsikan beberapa tips untuk lulus ujian psikometrik untuk ujian kali ini.

Empat tips lulus ujian ini saya kongsikan berdasarkan pemerhatian saya sepanjang ujian ini berlangsung sejak 12 bulan yang lepas. 

Dengan mengambil kira maklum balas daripada calon yang lulus dan calon yang gagal itu sendiri.

Bagi memastikan anda layak berada dalam kelompok yang tersangat kecil itu, anda boleh ikut empat tips di bawah untuk berjaya melepasi tapisan pada kali ini.

  • Kena konsisten dalam pendirian.
  • Kena jadi diri anda sendiri.
  • Kena tahu skop kerja jawatan yang dipohon.
  • Kena bagi kerjasama semasa menjawab.

Kena Konsisten Dalam Pendirian.

Sepanjang pemerhatian saya, ramai calon boleh membezakan soalan positif dan negatif, tapi mereka tak mampu memilih jawapan secara konsisten. 

Ada sesetengah calon psikometrik tidak tahu pun apa itu konsisten. Jadi apa itu konsisten sebenarnya?

Kalau anda nak tahu, konsisten ini berkait rapat dengan pendirian seseorang. Selalunya jawapan calon ini menjadi tak konsisten kerana mereka keliru dengan jawapan mereka sendiri. 

Perkara ini berlaku disebabkan wujudnya unsur ketidakjujuran ketika mereka menjawab soalan.

Sebagai contoh, tiga soalan di bawah ini digunakan untuk menguji sejauh mana tahap pendirian seseorang calon. Sama ada pendirian dia tetap ataupun tidak.

Soalan 1. Adakah anda berangan-angan berhubungan romantik?

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Soalan 2. Pernahkah anda berasi sangsi tentang keupayaan hubungan romantik anda?

  • Sangat Kerap
  • Kerap
  • Tidak Pasti
  • Kadang-Kadang
  • Tidak Pernah

Soalan 3. Pernahkan anda mempunyai fikiran yang anda tidak mahu orang lain tahu?

  • Sangat Kerap
  • Kerap
  • Tidak Pasti
  • Kadang-Kadang
  • Tidak Pernah

Jika dilihat kepada ketiga-tiga soalan ini, terdapat dua sikap yang cuba dicungkil melalui soalan ini. Tips untuk lulus ujian psikometrik ialah anda kena pastikan pendirian dalam soalan 1, soalan 2 dan soalan 3 sentiasa selari antara satu sama lain.

Kalau pendirian dalam soalan 1, soalan 2 dan soalan 3 tu bercanggah antara satu sama lain pula macam mana? 

Jika berlakunya percanggahan jawapan, itu cukup memberi signal kepada pihak SPA bahawa wujudnya unsur penipuan ketika seseorang calon itu menjawab soalan.

Dalam psikologi, individu yang menipu ini mudah dikesan kerana mereka tidak mempunyai pendirian yang tetap. Sekejap mereka sokong perkara ini, sekejap mereka sokong perkara itu. 

Jadi anda perlu tetapkan pendirian anda dengan memastikan jawapan anda sentiasa konsisten antara satu sama lain.

Kena Jadi Diri Sendiri

Selain daripada konsisten dalam pendirian, tips lulus ujian psikometrik yang seterusnya ialah anda perlu menjadi diri anda sendiri.

Daripada pemerhatian saya, ramai calon ujian psikometrik cuba menjadi orang lain ketika menjawab soalan. 

Mereka cuba mencipta satu perwatakan lain yang boleh memperlihatkan mereka ini seorang yang bersikap super positif. Mereka tak yakin dengan perwatakan diri mereka sendiri.

Maklum balas daripada calon ujian psikometrik sendiri, ada calon beritahu ujian psikometrik ini sangat mudah bagi mereka. Dalam masa 15 minit boleh jawab kesemua soalan. 

Ada juga calon beritahu soalan ujian psikometrik ini sangat memeningkan kepala mereka. Seolah-olah soalan ini direka untuk menggagalkan mereka.

Susah atau senang soalan bergantung sepenuhnya pada diri anda sendiri. Soalan menjadi mudah jika anda jadi diri anda sendiri. 

Ianya disebabkan soalan hanya bertanyakan tentang pendapat anda sahaja. Bukan pendapat tentang orang lain, tapi pendapat anda terhadap diri anda sendiri. 

Sepatutnya soalan ini mudah la kan?

Yang menjadi ujian psikometrik ini susah apabila anda cuba menjadi orang lain. Ketika ini soalan ujian psikometrik akan menjadi sangat memeningkan seolah-olah anda perlu mentafsir perwatakan orang lain. 

Hanya pakar psikologi sahaja mempunyai kebolehan mentafsir seperti itu.

Contoh soalan yang kerap menjerat calon psikometrik untuk menjadi individu lain seperti soalan di bawah ini.

Soalan 4. Ada masanya saya akan mengumpat.

  • Ya
  • Tidak

Soalan 5. Ada masanya saya juga bercakap bohong.

  • Ya
  • Tidak

Soalan 6. Sekali-sekala saya menangguhkan kerja hari ini untuk esok.

  • Ya
  • Tidak

Soalan 4, 5 dan soalan 6 boleh diumpamakan sebagai, ditelan mati emak, diluah mati bapa bagi kesemua calon psikometrik. 

Mereka nak jawab secara jujur takut gagal disebabkan memang jelas soalan tu bersifat negatif. Mereka nak menipu pun rasa serba salah disebabkan memang mereka pernah melakukan perbuatan itu.

Ramai calon terperangkap dengan soalan seperti ini. Akibatnya, pendirian mereka dalam setiap soalan saling bercanggahan antara satu sama lain. 

Dari sudut pihak SPA, dengan mudah mereka boleh nampak kecelaruan identiti dalam jawapan seseorang calon. Tak hairanlah kenapa ramai yang gagal ujian ini.

Kena Tahu Skop Kerja Jawatan Yang Dipohon

Apa yang saya perasan dalam ujian psikometrik sebelum ini, ada sesetengah calon yang menduduki ujian ini sekadar nak mencuba-cuba nasib mereka sahaja. 

Kalau ada rezeki, dapatlah lulus ujian ini. Kalau tak lulus, next time boleh cuba lagi.

Bila dapat panggilan ujian, perkara pertama yang mereka cari adalah contoh soalan. Apa skop kerja jawatan itu tidak penting bagi mereka. 

Apa yang penting bagi mereka ialah bagaimana contoh soalan dan apa jawapan paling tepat untuk soalan-soalan itu.

Sepatutnya, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah anda kena pastikan adakah sesuatu jawatan itu sesuai dengan karakter diri anda ataupun tidak.

Jawatan anggota penguat kuasa, ada perwatakan mereka sendiri. Jawatan ahli psikologi ada perwatakan mereka sendiri. 

Jawatan gred 11 mempunyai perwatakan mereka sendiri, jawatan gred 41 pula ada perwatakan mereka sendiri.

Perwatakan yang berbeza ini diperlukan disebabkan oleh skop kerja setiap jawatan itu berbeza-beza dengan jawatan yang lain.

Soalan 7 di bawah ini merupakan contoh soalan yang digunakan untuk menguji perwatakan bagi jawatan pegawai psikologi.

Soalan 7. Kawan-kawan mengadukan hal-hal peribadi kepada saya.

  • Sangat Kerap
  • Kerap
  • Tidak Pasti
  • Kadang-Kadang
  • Tidak Pernah

Soalan 8 di bawah ini pula merupakan soalan untuk menguji perwatakan dalam anggota penguat kuasa.

Soalan 8. Saya akan mempertahankan apa sahaja prinsip yang telah dipersetujui walaupun ada orang yang mengungkit.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Kena Berikan Kerjasama Semasa Menjawab.

Antara salah faham paling ketara calon psikometrik ialah mereka fikir ujian psikometrik ini nak uji kebolehan mereka menilai sikap positif dan sikap negatif. 

Kalau lah ujian psikometrik sekadar pilih-pilih nilai positif negatif macam tu, pasti ramai calon yang lulus ujian ni. Sebab nak nilai perkara baik dan buruk ni tersangat lah mudah.

Saya yakin, semua orang dikurniakan kewarasan akal pasti boleh membezakan antara perkara yang positif dan perkara negatif. Setuju tak? 

Ada sesetengah calon psikometrik fikir, jika mereka tonjolkan sikap negatif, itu akan menjadi faktor terbesar untuk mereka gagal ujian psikometrik ini. 

Yang sebenarnya ujian psikometrik bukan seperti itu. Tujuan ujian psikometrik hanyalah nak dapatkan data personaliti calon sahaja. Tak lebih daripada itu.

Jika nak tahu tahap kecemerlangan akademik, pihak SPA boleh merujuk sijil SPM, STPM, pointer diploma ataupun ijazah. 

Tapi bagaimana pula pihak SPA nak tahu personaliti seseorang calon?

Apa yang seseorang calon itu minat? Bagaimana seseorang calon itu berfikir? Bagaimana seseorang itu dalam pergaulan? Bagaimana seseorang itu bertindak dengan maklumat yang dia terima?

Pihak SPA nak merujuk kepada apa untuk tahu perkara tu? Sebab pihak SPA tak ada data pasal itu.

Kalau anda nak tahu, inilah tujuan sebenar ujian psikometrik dijalankan. Ianya bertujuan untuk mendapatkan data-data personaliti diri calon-calon ujian psikometrik. 

Setiap jawapan yang anda pilih itu nanti akan digunakan sebagai data untuk membentuk satu profil personaliti.

Sebagai seorang calon, tugas anda hanyalah perlu memberikan kerjasama yang baik dalam memberikan data-data personaliti anda itu.

Jika anda bagi kerjasama yang baik, profil personaliti yang akan dihasilkan nanti akan betul-betul tepat mencerminkan personaliti anda.

Jika tak bagi kerjasama, profil itu tidak akan mencerminkan diri anda yang sebenar. Jadi, mana mungkin pihak SPA nak tentukan kesesuaian personaliti anda dengan sesuatu jawatan.

Di bawah ini merupakan soalan yang boleh mengganggu pendirian seseorang calon daripada memberikan kerjasama yang baik ketika menjawab soalan.

Soalan 9. Saya tidak menghadapi masalah menghadiri majlis perbincangan saintifik.

  • Sangat Setuju
  • Setuju
  • Tidak Pasti
  • Tidak Setuju
  • Sangat Tidak Setuju

Ada sesetengah calon tak tahu pun apa itu majlis perbincangan saintifik, tak tahu perkara apa yang dibincangkan dalam majlis itu. 

Tapi disebabkan mereka ini ingin tonjolkan yang konon-kononnya sikap positif itu wujud dalam diri mereka, mereka sanggup untuk menipu dengan menyokong pernyataan dalam soalan 9.

Mereka terlupa, soalan psikometrik ini saling berkaitan antara satu sama lain. Seperti soalan 10, 11 dan soalan 12 di bawah ini. Pihak SPA menggunakan tiga soalan ini sebagai alat untuk mengesahkan jawapan calon dalam soalan 9.

Soalan 10. Saya berusaha mengulangi sesuatu tugas walaupun tidak menjanjikan kejayaan.

  • Sangat Kerap
  • Kerap
  • Tidak Pasti
  • Kadang-Kadang
  • Tidak Pernah

Soalan 11. Saya gemar membaca novel fiksyen berbanding majalah hiburan.

  • Sangat Kerap
  • Kerap
  • Tidak Pasti
  • Kadang-Kadang
  • Tidak Pernah

Soalan 12. Saya ingin mengetahui apa yang akan berlaku kepada kepompong rama-rama

  • Sangat Kerap
  • Kerap
  • Tidak Pasti
  • Kadang-Kadang
  • Tidak Pernah

Soalan 9, 10, 11 dan soalan 12 saling berkait antara satu sama lain disebabkan soalan-soalan ini berada di bawah penilaian yang sama. Jika anda cuba berlaku tidak jujur, jawapan anda nanti bakal bercanggah antara satu sama lain.

Itu cukup memberi isyarat awal kepada pihak SPA wujudnya unsur ketidakjujuran ketika seseorang calon itu menjawab ujian. Tambahan pula kejujuran itu merupakan salah satu daripada prinsip dalam integriti. 

Jadi anda perlu berhati-hati. Jangan sampai pihak SPA menganggap diri anda sebagai calon yang tidak berintegriti. 

Penutup

Saya harap dengan perkongsian empat tips lulus ujian psikometrik ini dapat memberikan manfaat kepada anda dalam persediaan ujian ini nanti.

Ps.. Anda dah baca koleksi 200 soalan psikometrik dan huraian jawapan? Jika belum, sila klik butang di bawah untuk baca.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *